Home » News Article

Keluarga bekas atlet terima sumbangan Yakeb

1 November 2010 No Comment

Sinar Harian – 23/08/2010

KUALA LUMPUR – Sempena bulan Ramadan, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) menyampaikan sumbangan kepada 11 keluarga bekas atlet yang telah meninggal dunia.

Antara penerima sumbangan terdiri daripada keluarga legenda bola sepak negara, Mokhtar Dahari, pelumba dan juga jurulatih basikal, Alwi Ahmad, penjaga gol, R. Arumugam dan Ong Yu Tiang, serta atlet paralimpik, Sani Harun.

Turut menerima sumbangan terdiri daripada keluarga Ballang Lasung, Kuda (Bala) Dita, Mohd Samsuri Shafie, Razak Othman, Ramli Ahmad dan Kamaruddin Mydin.

Lain-lain penerima termasuk 10 bekas atlet Negara yang memohon bantuan Yakeb, anak-anak yatim Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Bandar penawar.

Sumbangan disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Senator Datuk Maznah Mazlan dan Presiden Yakeb dan juga Pengerusi Koperasi Atlet Malaysia Berhad Datuk Paduka Dr Mumtaz Begum Abdul Jaffar di majlis berbuka puasa anjuran Yakeb dan Koperasi Atlet Malaysia Berhad di Dewan Komanwel, Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, kelmarin.

Dalam ucapannya, Maznah menyarankan agar badan-badan korporat dan individu tampil memberi sumbangan kepada Yakeb sebagai penghargaan kepada pengorbanan bekas atlet kebangsaan.

“Tidak kira sumbangan diberikan dalam bentuk wang ringgit mahupun kebendaan, ia memberi makna yang besar kepada atlet.

“Mereka, bekas atlet banyak menabur jasa dan pengorbanan untuk menaikkan nama negara,” katanya.

Maznah berkata, semua bekas atlet yang tidak mempunyai pekerjaan di gesa supaya mendaftar secara dalam talian (online) mengenai maklumat diri mereka dengan Jabatan Tenaga Kerja.

“Pelbagai bantuan dan kemudahan disediakan, kebajikan tidak hanya terhad kepada bantuan perubatan, kebendaan atau kewangan juga melalui peluang-peluang kerjaya khususnya selepas atlet bersara,” katanya.

Leave your response!

You must be logged in to post a comment.